Najib mahu laksana 18 inisiatif baru untuk Langkawi


LANGKAWI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam ini mengumumkan 18 inisiatif baru untuk mengangkat Pulau Langkawi ke tahap lebih maju dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) komited melaksanakan kesemua 18 inisiatif itu bagi meningkatkan taraf hidup penduduk pulau bersejarah itu ke tahap lebih hebat.
“Kita bukan hanya ingin bangunkan industri pelancongan tetapi juga perniagaan, infra rakyat, gaya hidup, rekreasi dan pelbagai peluang untuk masa depan Langkawi lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di majlis Santai Industri Pelancongan Langkawi turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, calon BN untuk Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan DUN Air Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.
Jelas Najib, inisiatif pertama adalah penubuhan sebuah pusat transformasi bandar (UTC) di sini, yang membolehkan urusan kelulusan permit atau lesen dibuat dengan kadar lebih cepat.
Najib turut mengumumkan peruntukan RM100 juta oleh SME Bank dalam bentuk pembiayaan antara RM25,000 dan RM250,000 kepada peniaga Langkawi yang mengusahakan chalet, motel dan kedai runcit.
“Geran sebanyak RM5,000 akan diberikan kepada 1,000 orang peniaga kecil yang akan diagihkan oleh persatuan peniaga yang berdaftar bermula 1 Jun ini,” katanya.
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) juga akan memperuntukkan dana dalam bentuk geran sehingga RM10,000 kepada 200 usahawan bagi membiayai perniagaan kecil-kecilan.
Menurutnya, sebanyak RM12 juta diperuntukkan untuk memperkasa Akademi Pelancongan Langkawi, sementara hab perniagaan berkonsepkan model pasar Chatuchak di Bangkok akan dibangunkan di Pantai Chenang.
Najib berkata sebuah “premium outlet” juga akan dibina di sini menerusi pelaburan sektor swasta berjumlah RM200 juta selain penubuhan sebuah hospital swasta sebagai satu tarikan pelancongan kesihatan.
Najib berkata sebuah sirkit motocross akan dibina di Langkawi selain menggiatkan lagi segmen pelancongan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sedang diperbesarkan dan dijangka siap September ini dengan kapasiti tiga juta pelancong setahun.
“Kerajaan juga sedang merangka strategi untuk menarik syarikat-syarikat penerbangan asing untuk mengadakan penerbangan terus,” katanya selain pengenalan pakej istimewa WiFi berkelajuan tinggi di kawasan awam di sini.
Menurutnya sebuah syarikat dari China akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk menghasilkan 40 video promosi tentang Langkawi untuk tontonan kira-kira 980 juta orang di negara itu dan 10 juta orang di Malaysia.
“Tourism TV akan diwujudkan bagi mempromosikan sektor Langkawi. Slot 2 jam sehari diberikan eksklusif kepada Langkawi,” katanya sambil menambah kerajaan negeri juga bersetuju, memberikan pelepasan lesen selama setahun kepada peniaga dengan masalah lesen dengan pihak berkuasa tempatan.

Comments

Popular posts from this blog

TERTHAL AH? NAANGE READY DATO SERI SARAVANAN SAVAL

கோலாலம்பூர் to திருச்சி” – 168 பயணிகளுடன் பறந்த சிறப்பு விமானம்.!

Marubadiyum kamalanathannukku seat ah?