Ratu cantik, pelakon diugut video sokong BN
SEREMBAN: Seorang ratu cantik yang juga pelakon filem Tamil mendakwa menerima ugutan selepas rakaman videonya menyatakan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) menjadi viral.
Mourhrna Anetha Reddy, 33, yang juga bekas Miss Malaysia Indian Global 2006 dan Miss Malaysia India Worldwide 2011, mendakwa ada pihak mengugut untuk mencederakannya.
"Saya tidak aktif berpolitik, namun tahu hak saya sebagai rakyat Malaysia. Justeru, selepas melihat manifesto BN ketika menghadiri satu ceramah di sini, Khamis lalu, saya berpuas hati dan yakin dengan perancangan yang baik oleh BN.
"Kebetulan beberapa kru pengendali sebuah laman Facebook kemudian menemubual saya mengenai program berkenaan, lalu saya memberikan pendapat secara santai termasuk menyatakan BN boleh membantu komuniti India di Seremban.
"Beberapa hari kemudian, rakan memberitahu rakaman video itu menjadi viral di Facebook dan saya menerima banyak kecaman. Tidak habis di situ, terdapat juga ugutan seorang lelaki yang mahu mencederakan saya melalui pesanan suara aplikasi WhatsApp," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dia membuat laporan polis di Balai Polis Seremban di sini, malam tadi kerana bimbang mengenai keselamatan dirinya.
Mourhrna berkata dia turut melihat rakaman video di aplikasi WhatsApp memaparkan seorang lelaki tidak dikenali memarahinya kerana menyokong BN dan mengarahkannya menukar parti atau menerima padah jika enggan berbuat demikian.
Mourhrna yang pernah membintangi filem Tamil di India dan Malaysia, tidak menyangka segelintir penyokong pembangkang sanggup memberi reaksi melampau sedemikian sedangkan dia hanya menyatakan pendapat sebagai seorang rakyat.
"Kita sebenarnya tidak perlu bersikap seperti ini malah sewajarnya menghormati pendapat orang lain, lebih-lebih lagi berkaitan hal politik. Jika seseorang mahu menyokong sesebuah parti yang disukainya, orang lain tiada hak menghalangnya," katanya.
Comments
Post a Comment